Monday, 26 January 2009

"PENGUKUHAN IMAN MELALUI PERISTIWA GERHANA MATAHARI"


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(26 Januari 2009 / 29 Muharram 1430H)

(Rujukan:http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/)


Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan dengan diri dan juga dengan sekalian jemaah agar kita benar-benar bertakwa kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan itu hidup kita di bawah lindungan Allah SWT. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk:
"PENGUKUHAN IMAN MELALUI PERISTIWA GERHANA MATAHARI".

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Pada saat ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana matahari. Matahari yang bercahaya di siang hari penuh purnama secara tiba-tiba hilang cahayanya sedikit demi sedikit sehinggalah tiada lagi cahaya yang kelihatan. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qadha dan qadar-Nya.

Allah SWT berfirman di dalam al-Qur'an menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir Allah SWT. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan sebagaimana terdapat pada surah al-Fussilat ayat 37:

Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan; dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah."


Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu, antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya tidak melampaui batas.

Menurut catatan sejarah bahawa gerhana matahari telah berlaku pada 10 Rabiul Awal tahun ke-8 hijriah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera baginda SAW iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari. Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang mafhumnya:

"Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu" (Riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)


Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Allah SWT Maha berkuasa di atas segala sesuatu. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 71-73:

Maksudnya:
"Katakanlah: Bagaimanakah pandanganmu jika Allah menjadikan malam kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari Kiamat; siapakah selain Allah yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar? Katakanlah: Apakah pendapatmu jika Allah menjadikan siang kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari Kiamat; siapakah tuhan selain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat? Dan di antara rahmat-Nya, Ia menjadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Mudah-mudahan dengan adanya rahmat Allah tersebut, maka dapatlah manusia itu berterima kasih kerana telah banyak menerima budi yang patut dibalas. Allah SWT tidak sekali-kali mengharapkan pembalasan. Tetapi apa yang patut dilakukan sebagai tanda syukur dan berterima kasih itu hendaklah manusia memuji Allah setulus-tulusnya dan seikhlas hati tanpa menyengutukan-Nya.

Ahli falak Islam yang masyhur dizaman silam, Imam al-Khawarizmi berpendapat setiap dua (2) jisim yang berdekatan itu mewujudkan kesan tarik menarik di antara satu sama lain, samada kuat atau pun lemah tarikan tersebut. Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi. Pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Hal ini juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Imam an-Nasaie meriwayatkan bahawa ummul mukminin Saidatina Aishah R.HA berkata:

Mafhumnya: "Dan sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah dihadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: "Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis".

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Tinggalkanlah maksiat sekiranya kita telah terlanjur dan jauhi maksiat sekiranya belum terjebak. Ahmad dan Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafumnya: "Apabila berleluasa maksiat di kalangan umatku, nescaya Allah limpahkan azab di sisinya. Aku bertanya: Ya Rasulullah, sekiranya di kalangan mereka itu terdapatnya orang-orang soleh? Rasulullah SAW menjawab: Benar! Ummu Salamah bertanya: Kenapa orang yang soleh juga ditimpakan azab? Rasulullah SAW menjawab: Mereka ditimpakan azab bersama manusia yang lain kemudian mendapat keampunan Allah dan mendapat keredhaan-Nya".

Marilah kita menanamkan dalam hati dan jiwa kesungguhan untuk menghayati hikmah disebalik setiap peristiwa, kejadian dan fenomena alam sama ada ianya merupakan suatu bala ataupun ujian daripada Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, sebagai usaha untuk melahirkan keteguhan seterusnya mengekalkan kekuatan iman yang ada dalam diri umat Islam, mimbar menggariskan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman bersama:

Pertama : Berfikir dan bertafakkur setiap kejadian fenomena alam;

Kedua : Memperingati tentang nikmat syurga dan azab neraka;

Ketiga : Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu
Allah;

Keempat : Menghitung, mempertingkatkan dan memperkemaskan amal
kebajikan sepanjang masa; dan

Kelima : Bersegera memohon taubat kepada Allah SWT di atas kealpaan
dan keingkaran mentaati perintah-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 5:

Maksudnya: “Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada tujuan yang benar; Ia menjadikan malam melengkari siang, dan menjadikan siang melengkari malam; dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintah-Nya, setiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.”


(KHUTBAH KEDUA)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan dengan diri saya dan hadirin sekalian, marilah kita benar-benar meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT supaya memperoleh rahmat taufik dan hidayah sepanjang hayat.

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 46 bahawa disediakan kepada umat manusia di bumi Allah ini akan cuaca yang cukup selesa, aliran angin yang membawa berita dengan limpahan rezeki, kapal-kapal dengan muatan barang dagangan bergerak merentasi lautan menyuburkan lagi rezeki kurniaan Allah SWT untuk dinikmati bersama. Semoga dengan pelbagai habuan yang diperolehi itu, melahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini kita berhimpun dan berkumpul dengan penuh harapan agar doa, rayuan kita diterima Allah SWT. Semoga Allah memulihkan cuaca gerhana matahari yang kita saksikan sekarang ini, supaya kita terus sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah hendaknya. Berdoalah wahai saudara-saudaraku sekalian, semoga selepas perhimpunan ini bermulanya aliran angin yang membawa hujan dan aliran air yang mencukupi keperluan. Cuaca dan peralihan musim yang lebih baik untuk dinikmati bersama.

Firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 36:

Maksudnya:
"Maka Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya".

Ya Allah ampunkanlah sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat samada yang masih hidup atau yang teal meninggal dunia.




(Rujukan:http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/upload/doc/Pengukuhan%20Iman%20Melalui%20Peristiwa%20Gerhana%20Matahari%20(Rumi).doc)

No comments:

Been a while since I joined "Virtual Run" (VR), and with long MCO - Movement Control Order (and no interest from family members..h...